Artikel oleh En. Zulfadli dari http://blog.smartusaha.com

Artikel saya ini boleh dikatakan kepada usaha untuk mentafsirkan semula pandangan yang kita terima faham selama ini mengenai pasaran global VS pasaran tempatan melalui perniagaan internet.

Ada orang bahagikan perniagaan internet kepada dua jenis pasaran:

1. Global
2. Tempatan

Adakah tanggapan begini tepat? Bagi saya, ia kurang tepat. Ini kerana apabila kita menyebut internet, maka internet itu sendiri adalah dunia tanpa sempadan. Maka secara automatik ia adalah GLOBAL. Internet adalah satu dunia tersendiri sepertimana dunia nyata.

Jika kita katakan kita telah melakukan perniagaan internet di pasaran global dengan alasan telah melakukannya di dalam bahasa Inggeris, ia memang betul. Tapi takrifan kendiri sebegini kurang tepat. Logiknya amat mudah iaitu bagaimana pula dengan pasaran China yang dikatakan antara pasaran internet terbesar terutama di Asia?

Pasaran Internet China mempunyai enjin carian tersendiri yang sebanding dengan Google iaitu baidu.com (berbahasa cina). Dan pasaran ini dikatakan antara sasaran pihak luar. Tatkala kita menyasar pasaran US, UK dan lain-lain, pihak lain pula menumpu pasaran China termasuklah Asia sendiri. Dan tidak kira lagi bahasa-bahasa lain terutama yang peratusan besar rakyatnya tidak tahu berbahasa Inggeris yang mungkin mempunyai potensi yang besar juga sebanding dengan pasaran bahasa Inggeris.

Jelas di sini bahawa tidak kisah apa yang kita lakukan, jika ia dilakukan di internet, maka kita telah dan sedang memasuki satu pasaran global tanpa sempadan.

Kemudian, laman web berbahasa Melayu tidak semestinya dilayari hanya oleh mereka yang berada di Malaysia sahaja kerana mereka berada di merata dunia ini (di pelbagai negara). Ada yang bekerja dan ada yang belajar. Jadi semakin jelas di sini bahawa, walaupun kita melakukan perniagaan internet di dalam bahasa Melayu, ia tetap pasaran global kerana sesebuah laman web dilayari bukan hanya dari sebuah negara sahaja.

Pelanggan saya sendiri sebahagiannya bukan hanya berada di Malaysia walaupun mereka orang Malaysia kerana mereka berada di pelbagai negara seperti Jordan, Jepun, Arab Saudi, Singapura dan lain-lain lagi.

Malah bagi saya juga, katakan saya sekarang berada di Johor, tapi pelanggan saya adalah dari pelbagai negeri di Malaysia, ia juga adalah global kerana istilah tempatan adalah spesifik kepada kawasan persekitaran saya dan bukan kawasan yang jauh seperti pelanggan dari Sabah atau Perlis. Ia berada di luar daripada kawalan dan jangkauan saya.

Satu lagi logik yang boleh kita renungkan di sini, andaikata kita berada di US, maka apakah maksud pasaran global jika kita katakan market global adalah market berbahasa Inggeris? Sebaliknya orang-orang di US akan menganggap pasaran di Asia adalah pasaran luar/global bagi mereka. Jadi jelas, syarat penggunaan bahasa untuk menentukan market global atau tidak hanyalah satu ‘ilusi’ semata-mata.

Maksud global adalah sangat subjektif. Terserah kepada anda mahu mentafsirnya bagaimana. Bagi saya adalah seperti tanggapan saya di atas iaitu internet adalah global tanpa perlu membahagikan kepada jenis-jenis tertentu. Bermaksud, tidak kisah apa yang dilakukan, jika di internet, maka ia adalah global.

Maka sebab itu saya tidak kalut di dalam memilih pasaran kerana internet itu sendiri bermaksud global. Maka saya telah melakukan pasaran global walaupun di dalam bahasa Melayu. Target saya adalah untuk mereka yang memahami bahasa Melayu tidak kisah mereka sedang berada di mana ceruk rantau bumi ini.

Malah apabila kita melakukan bisnes, kita hanya perlu pilih siapa sasaran kita, dalam bahasa apa, negara yang anda mahu fokus (jika perlu) dan laksanakan sahaja. Mahu lakukan apa dan bagaimana, itu terserah. Masing-masing ada matlamat dan hala tuju sendiri. Cara saya mudah sahaja: Kenalpasti apa yang perlu dibuat, tetapkan sasaran pencapaian dan just do it. Tidak kisahlah dalam bahasa apa, penduduk negara mana, itu semua adalah normal dalam bisnes dan tidak perlu dikalutkan. Itulah dikatakan perancangan dan perlaksanaan.

Saya menulis artikel ini kerana saya melihat sejak dahulu sehingga sekarang, ‘perdebatan’ mengenai market luar VS market tempatan sering berlaku. Bagi saya tiada istilah market luar atau tempatan, yang ada hanya INTERNET (global). Yang spesifiknya hanya negara dan bahasa untuk lebih fokus bergantung kepada tujuan akhir produk yang dijual.

Kesimpulan: Internet = GLOBAL. Dunia internet tidak boleh disama-banding dengan dunia offline. Ia adalah dunia tersendiri (dunia maya). Apabila kita memasuki/mengakses internet, kita telah memasuki sebuah dunia global tanpa sempadan. Inilah yang dikatakan sebagai DUNIA GLOBALISASI.

Salam maju jaya.

Sekian.

“Wujudkan sifir dan perkiraan anda sendiri. Elakkan terpengaruh dengan kira-kira orang lain yang mungkin hanya sesuai untuk mereka. Binalah hala tuju anda sendiri. Master your own destiny.”

  • Share/Save/Bookmark